mutakhir

'Dia anak saya'

Oleh Rosli Ilham

NELAYAN yang dipercayai terjatuh dari bot di jeti pendaratan ikan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Dungun, Khamis lalu ditemukan lemas, 7.30 pagi ini.

Mayat Zaidi Abu Bakar, 39, ditemui terdampar di tepi pantai Kampung Tebing Tembah, Dungun oleh seorang pekerja kuari kira-kira 15 kilometer dari lokasi kejadian.

Ibu mangsa, Zaiton Husin, 70, berkata, sebaik dimaklum mengenai penemuan mayat seorang lelaki, dia bersama suami dan anak-anak ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk membuat pengecaman.

Menurutnya, dia mengesahkan mayat ditemui adalah anaknya berdasarkan parut di bahagian siku dan bahunya akibat kemalangan.

Katanya, arwah anaknya menjadi nelayan sejak remaja dan dan akan berada di laut selama tiga hari setiap kali keluar menangkap ikan.

“Sepatutnya dia pulang pada Khamis, namun tidak muncul. Mungkin pada hari kejadian dia berada di atas bot untuk membuat persiapan untuk keluar semula ke laut.

“Bila mendapati dia tidak pulang ke rumah, saya risau dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun pada 9 malam,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, ketika membuat laporan, dia dimaklumkan polis sedang mencari mayat seorang lelaki yang dijumpai timbul oleh seorang pemancing di kompleks itu.

“Saya dan keluarga terus ke kompleks berkenaan dan percaya mayat yang ditemui timbul sekejap itu anak saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mayat dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut, sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Berita berkaitan

Timbul seketika sebelum hilang

Disiarkan pada: March 1, 2020 @ 3:11pm
d