mutakhir

Empat kes baharu Covid-19 di Malaysia

Oleh Suraya Roslan

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat empat kes baharu jangkitan virus Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah pesakit baru itu diperolehi sehingga jam 12 tengah hari semalam menjadikan 29 kes dilaporkan setakat ini.

Menurutnya, kes terbaru ke 26 membabitkan seorang lelaki warga negara Malaysia berusia 52 tahun.

“Mangsa mempunyai sejarah perjalanan ke Shanghai, China sekitar pertengahan Januari 2020.

“Mangsa mula mengalami gejala demam dan sakit tekak pada 27 Februari 2020. Dia kemudian mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di sebuah hospital swasta pada hari sama.

“Ujian saringan pengesanan Covid-19 dijalankan ke atas lelaki itu dan dia disahkan positif Covid-19 pada 29 Februari lalu,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu kemudian dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan pemantauan selanjutnya.

Sementara itu, kes jangkitan ke-27 membabitkan seorang wanita warga negara Malaysia berusia 20 tahun yang juga seorang jururawat pelatih.

“Dia menjalani latihan sangkutan jangka pendek di hospital swasta dan pernah merawat mangsa kes ke-24 sebelum ini.

“Semasa aktiviti pengesanan kontak rapat dijalankan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah, wanita itu dikenal pasti sebagai salah seorang kontak rapat kes ke-24.

“Pada 21 dan 22 Februari lalu, wanita itu mengendalikan kes jangkitan itu tanpa memakai sebarang peralatan perlindungan diri personal protective equipment ( PPE) seperti disarankan,” katanya.

Menurutnya, mangsa mula mengalami gejala batuk pada 27 Februari lalu.

“Ujian saringan pengesanan Covid-19 dijalankan ke atasnya mengesahkan dia positif pada 29 Februari lalu. Dia kini dimasukkan ke wad isolasi Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan dan pemantauan selanjutnya,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kes ke-28 pula membabitkan seorang lelaki warga negara Malaysia berusia 45 tahun yang juga rakan sekerja kepada mangsa ke-25.

“Lelaki itu bersama-sama dengan kes ke-25 dan seorang lagi rakan sekerja mempunyai sejarah perjalanan ke Milan, Itali pada 15 hingga 21 Februari lalu.

“Semasa aktiviti pengesanan kontak rapat dijalankan, dia dikesan dan didapati mempunyai gejala sejak 26 Februari lalu.

“Ujian saringan pengesanan Covid-19 dijalankan ke atasnya dan disahkan positif pada 29 Februari lalu. Dia kini dirawat di wad isolasi Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Sementara itu kes jangkitan ke-29 membabitkan seorang wanita warga negara Malaysia berusia 35 tahun.

“Terdahulu, wanita terbabit dimasukkan ke sebuah hospital swasta pada 21 Februari lalu. Wanita itu ditempatkan di bilik berdua dengan pesakit kes ke-24 yang ketika itu belum diketahui dijangkiti Covid-19.

“Dia bagaimanapun dibenarkan pulang ke rumah pada 25 Februari lalu. Namun pada 27 Februari, dia mula merasa tidak sihat, mengalami gejala demam dan batuk.

“Semasa aktiviti pengesanan kontak rapat dijalankan pihak Pejabat Kesihatan Daerah, wanita itu dikenal pasti sebagai salah seorang dari kontak rapat kepada kes ke-24. Ujian saringan pengesanan Covid-19 dijalankan mendapati dia disahkan positif pada 29 Februari lalu dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, empat kes terbaru itu menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 sebanyak 29 kes iaitu 17 individu dalam kalangan kes Patient-Under-Investigation (PUI), 10 individu dalam kalangan kontak rapat dan dua dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.

“Dari jumlah itu, 15 individu adalah warga negara China, 11 warga negara Malaysia dan tiga lain-lain warga negara iaitu Amerika Syarikat, Jepun serta Itali.

“Daripada 29 kes positif ini, sebanyak 22 kes sudah sembuh dan menjadikan kes yang masih menerima rawatan di wad pada ketika ini seramai tujuh individu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 1, 2020 @ 3:52pm
    d