mutakhir

Tingkatkan kefahaman hospital swasta

Oleh HM Digital

MESYUARAT pengurusan kes disyaki dan pesakit Covid-19 di hospital dan klinik swasta diadakan di peringkat kebangsaan, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mesyuarat itu bertujuan mempertingkatkan lagi kefahaman pengamal perubatan swasta kepada situasi Covid-19 terkini di peringkat global dan di Malaysia.

“Di samping itu ia juga bertujuan memastikan pihak pengamal swasta bersedia dengan kesiapsiagaan dan respons dalam menghadapi situasi Covid-19 yang di luar jangka.

“Pihak fasiliti kesihatan swasta termasuk hospital, klinik dan makmal swasta memainkan peranan amat penting bagi memastikan kesiapsiagaan berada di tahap maksimum dalam menangani kejadian jangkitan Covid-19 ini.

“Justeru, sesi perbincangan seperti ini adalah amat penting bagi membolehkan maklumat yang tepat dan jelas disampaikan kepada semua pihak terbabit,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan situasi semasa Covid-19 di Malaysia dan perkembangan terkini di peringkat global, semua anggota di setiap peringkat fasiliti kesihatan diingatkan sentiasa melaksanakan langkah-langkah pencegahan serta kawalan infeksi (infection prevention and control) yang optimum setiap masa.

“Mekanisma bagi pengesanan awal dan pengasingan kes perlu diperkukuhkan.

“Kerjasama kukuh di antara pihak kerajaan dan swasta adalah amat penting bagi memastikan Malaysia dapat mengawal dan menangani kejadian Covid-19 dengan berkesan.

Orang ramai yang memerlukan penerangan atau maklumat lanjut berhubung Covid-19 boleh menghubungi Infoline CPRC Kebangsaan melalui talian 03-8881 0200 / 03-8881 0600 / 03-8881 0700 atau e-mel: cprc@moh.gov.my.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 2, 2020 @ 7:10am
    d