mutakhir

Hanya dalam siasatan, bukan sah Covid-19

Oleh BERNAMA

JABATAN Kesihatan Pahang hari ini menafikan terdapat pesakit yang disahkan positif Covid-19 di negeri itu.

Pengarahnya Datuk Dr Bahari Awang Ngah berkata, pesanan WhatsApp yang tular mendakwa terdapat tiga sekeluarga disyaki dijangkiti virus dan diletakkan di bawah arahan kuarantin adalah tidak tepat.

Katanya, tiga sekeluarga dari Rompin itu hanya diletakkan di bawah pesakit dalam siasatan (PUI) selepas pulang bercuti dari Korea Selatan sebagai langkah kawalan.

“Korea Selatan adalah satu daripada lima negara paling tinggi kes Covid-19 dan prosedur kesihatan kita adalah mereka yang pulang dari negara terbabit diletakkan di bawah PUI jika mempunyai simptom seperti batuk.

“Manakala bayi berusia lapan bulan yang dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) hanya sebagai langkah berjaga-jaga, memandangkan usianya yang terlalu muda,” katanya semasa dihubungi Bernama di Kuantan, hari ini.

Sehubungan itu, Dr Bahari berharap masyarakat tidak panik dan tidak menularkan pesanan menerusi WhatsApp itu bagi mengelak kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

“Selain itu, pesanan itu juga membabitkan isu kerahsiaan pesakit kerana identitinya didedahkan. Ini aspek utama yang perlu difahami semua sebelum menyebarkan pesanan tersebut,” katanya.

Pesanan WhatsApp itu mendakwa tiga sekeluarga terdiri daripada seorang lelaki berusia 34 tahun bersama dua anak lelakinya diletakkan di bawah kuarantin, disyaki Covid-19 kerana mengadu batuk selepas bercuti di Korea Selatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 3, 2020 @ 5:07pm
    d