mutakhir

Lima lagi positif Covid-19, kontak rapat kes ke-26

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

LIMA individu dikesan positif wabak koronavirus baharu (Covid-19) hari ini, menjadikan keseluruhan kes jangkitan di negara ini sebanyak 55 kes.

Lima kes jangkitan yang terbaru itu dikenal pasti adalah kontak rapat kepada individu dijangkiti membabitkan kes ke-26.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga kini, kontak rapat bagi kes ke-26 yang disahkan positif Covid-19 adalah seramai 26 individu.

Menurut beliau, ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia sehingga 12 tengah hari ini adalah sebanyak 55 kes.

“Daripada jumlah ini, seramai 22 pesakit sudah sembuh dan dibenarkan pulang.

“Kesemua kes baharu ini berhubung kait dengan satu kluster Covid-19 yang dikenal pasti sebelum ini iaitu individu dari kes ke-26.

“Siasatan dan pengesanan kontak bagi kluster berkenaan masih diteruskan,” katanya.

Semalam, beliau memaklumkan Malaysia sedang memasuki gelombang kedua Covid-19 dan ia bermula dengan kes ke-26 yang kebanyakan kes jangkitan tempatan dan dalam kalangan rakyat tempatan.

Menurutnya, satu Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kluster Penyakit Coronavirus (Covid-19) 2020 yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara diadakan bersama pelbagai agensi berkaitan di Putrajaya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 5, 2020 @ 7:40pm
    d