mutakhir

Kelantan tingkat usaha kekang Covid-19

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

JABATAN Kesihatan Kelantan terus meningkatkan usaha mengawal pintu keluar masuk sempadan negara termasuk Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata, jika dilihat pada data di peringkat nasional dalam tempoh seminggu dua ini, terdapat peningkatan yang mendadak berkaitan penularan wabak berkenaan dan ianya memerlukan usaha yang lebih drastik.

Katanya, setakat ini di Kelantan, pihaknya tidak ada menerima kes positif mengenai Covid-19, namun di peringkat kementerian, jabatan, hospital swasta mahupun kerajaan serta klinik kesihatan terus memberi perhatian terhadap penularan wabak berkenaan.

“Kita sudah meningkatkan usaha dari segi saringan di tiga pintu keluar masuk sempadan negara iaitu di Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga termasuk di LTSIP yang mempunyai penerbangan terus dari Singapura.

“Pihak kementerian sebelum ini sudah menghantar tiga alat pengimbas suhu badan yang ditempatkan di tiga pintu keluar masuk sempadan termasuk di lapangan terbang dan baru-baru ini kita menambah satu lagi alat pengimbas ini di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang bagi menyaring masyarakat yang keluar masuk dari kawasan sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan World Hearing Day di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama, Ketua Perkhidmatan Otolaringologi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Siti Sabzah Mohd Hashim dan Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Selasawati Ghazali.

Terdahulu, isteri kepada Tengku Mahkota Kelantan, Cik Puan Sofie Louise Johansson berkenan melepaskan peserta yang menyertai larian sempena World Hearing Day.

Zaini berkata, pada masa sama, pihaknya turut memberi penerangan kepada masyarakat dengan mengadakan beberapa pusat saringan di kesemua sembilan hospital di seluruh negeri selain di klinik-klinik kesihatan.

“Saya juga amat berharap, mana-mana rakyat atau masyarakat yang pulang dari negara yang mempunyai wabak ini supaya melakukan saringan di hospital dan klinik kesihatan yang terdekat.

“Sekiranya ada anggota kesihatan yang memberi nasihat untuk kuarantinkan mereka di rumah, saya benar-benar memohon supaya mereka melakasanakannya sebagaimana diarahkan kerana ini penting bagi memastikan wabak Covid-19 tidak merebak kepada masyarakat awam yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Zaini berkata, 26 kes ‘Patient-Under-Investigation’ (PUI) yang dikuarantin di HRPZ II, kelmarin didapati negatif Covid-19 selepas ujian saringan dijalankan.

“Kakitangan yang bertugas sentiasa mencukupi dalam melaksanakan tugas mereka secara giliran bagi pemantauan Covid-19 khususnya di Kelantan.

“Pada masa sama, kita juga sudah membuka pusat saringan atau pusat membuat saringan di HRPZII dan Makmal Kesihatan Awam di Kota Bharu. Kami sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga selain turut bekerjasama dengan agensi lain,” katanya.

Katanya, pada minggu hadapan pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sekiranya gelombang kedua wabak Covid-19 merebak ke Kelantan.

“Sekiranya wabak ini merebak dan bilangan kes bertambah kita akan mengambil tindakan drastik dengan membuka pusat kuarantin samada di dalam atau luar premis kesihatan.

“Kita juga akan menambah kakitangan bagi memastikan mereka dapat melaksanakan tugas secara lebih berkesan dan pusat-pusat saringan juga mungkin akan ditambah bergantung kepada kes yang ada.

“Buat masa sekarang, pusat saringan di hospital dan klinik selain logistik yang ada dapat membantu kakitangan kami melaksanakan peranan mereka dalam mengekang penularan wabak ini,” katanya.

Beliau berkata, selain peranan jabatan kesihatan dan agensi kerajaan yang berkaitan, masyarakat juga perlu memainkan peranan penting untuk kebersihan diri dapat diamalkan secara menyeluruh.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 7, 2020 @ 1:18pm
    d