mutakhir

KKM beku cuti

Oleh Amir Abd Hamid

“INI adalah untuk kita memantapkan barisan hadapan.”

Itu komen Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi WhatsApp apabila mengesahkan pekeliling tular di media sosial berhubung pembekuan cuti semua pegawai dan kakitangan Hospital Sungai Buloh sebagai langkah kesiapsiagaan menangani wabak Covid-19.

Ditanya adakah pembekuan cuti itu turut terpakai di hospital dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seluruh negara, beliau berkata kesiapsiagaan di semua hospital demi keperluan perkhidmatan.

Terdahulu, tular pekeliling bertarikh 5 Mac lalu dengan tandatangan Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr Kuldip Kaur berhubung arahan pembekuan cuti untuk kesiapsiagaan hospital itu bagi menangani wabak Covid-19.

Untuk rekod, menurut KKM setakat 16 Februari lalu terdapat 18 makmal kesihatan awam bagi menjalankan ujian pengesanan COVID-19 di Malaysia, termasuk IMR, Makmal Kesihatan Awam Johor Bahru,Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu, Makmal Kesihatan Awam Kota Bharu, Makmal Kesihatan Awam Ipoh dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh.

Selain itu, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh; Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar; Hospital Pulau Pinang; Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban; Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru; Hospital Umum Sarawak; Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh; Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu; Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan; Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan Hospital Melaka.

Sehingga semalam, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 yang dilaporkan di negara ini adalah 83 kes dan 23 daripadanya sudah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar dari wad.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 7, 2020 @ 1:38pm
    d