mutakhir

Darah diderma bebas Covid-19

Oleh Baharom Bakar

JABATAN Kesihatan Terengganu memberi keyakinan semua jenis darah yang didermakan masyarakat bebas daripada virus Covid-19.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus menegaskan, Unit Transfusi Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akan melakukan pemeriksaan kesihatan dan ujian saringan kepada setiap penderma.

Katanya, sebelum diberikan kepada pesakit, ujian saringan sekali lagi akan dilakukan untuk memastikan darah yang dibekalkan bebas dari pelbagai virus.

“Ahli keluarga pesakit diminta tidak risau kerana darah yang dibekalkan bebas daripada pelbagai virus, termasuk kuman penyakit berjangkit,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Derma Darah Penolong Pegawai Perubatan sempena Sambutan Hari Pembantu Perubatan peringkat negeri di HSNZ, di Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Ketua Unit Transfusi Darah HSNZ, Dr Muhaimin Kambali dan Ketua Penolong Pegawai Perubatan Negeri, Wan Asrulnizan Wan Mustafa.

Mengulas mengenai Covid-19, Dr Nor Azimi berkata, tiada kes berkenaan dikesan di negeri itu setakat ini.

Katanya, ada pesakit yang disyaki, tetapi selepas ujian darah dilakukan mereka bebas daripada Covid-19.

“Walaupun tiada kes tetapi semua pegawai kesihatan di negeri ini sudah diminta bersiap siaga, termasuk cuti dibekukan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 10, 2020 @ 4:02pm
    d