mutakhir

Tengku Zafrul sedia tangani cabaran ekonomi [METROTV]

Oleh BERNAMA

TENGKU Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang mengangkat sumpah jawatan senator, hari ini susulan pelantikannya sebagai Menteri Kewangan, mengatakan komitmen untuk menangani cabaran ekonomi yang dihadapi negara.

Justeru, menteri itu berkata, beliau akan mendapatkan taklimat daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir petang ini di Putrajaya, bagi memperoleh gambaran lebih baik dan perincian mengenai situasi ekonomi Malaysia.

“Saya berpandangan, apa yang kita perlu kini adalah menumpukan cabaran semasa sedia ada dari segi ekonomi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis mengangkat sumpah jawatan senator di Dewan Negara di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.

Teknokrat terkemuka itu berkata, beliau sebenarnya terkejut namun rendah hati atas pelantikan tersebut.

Beliau akan melakukan yang terbaik untuk membantu negara mengharungi tempoh sukar ini, katanya.

Pakar Ekonomi (Perbendaharaan Global – Penyelidikan dan Strategi) OCBC Bank, Wellian Wiranto berkata pelaksanaan pakej rangsangan RM20 bilion dijangka menjadi keutamaan serta-merta Tengku Zafrul untuk melonjakkan semula ekonomi yang terkesan ekoran penularan COVID-19 seperti diumumkan pada 27 Februari lalu.

Tanggungjawab penting beliau termasuk mengekang defisit fiskal Malaysia daripada meningkat dalam keadaan penurunan harga minyak mentah berikutan kebimbangan mengenai lebihan bekalan, katanya menerusi nota penyelidikan perbendaharaan oleh OCBC.

Tengku Zafrul dan Naib Presiden MCA, Datuk Lim Ban Hong antara enam individu yang mengangkat sumpah jawatan senator di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri SA Vigneswaran.

Sementara itu, Lim yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata beliau komited untuk meneruskan usaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) merangsangkan pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan langsung asing berkialiti serta menambah baik kebajikan rakyat.

“Saya anggap pelantikan ini sebagai tugas berat yang mempunyai cabaran memandangkan keadaan ekonomi dunia yang bergolak sekarang.

“Saya akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan kesinambungan yang dilaksanakan oleh MITI,” katanya.

Memandangkan Malaysia menjadi tuan rumah kepada mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020 serta Sidang Kemuncak APEC pada November, beliau turut komited untuk memastikan kejayaan mesyuarat berkenaan yang menggalakkan perdagangan bebas bagi seluruh rantau ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 10, 2020 @ 8:52pm
    d