mutakhir

Sekat rakyat Itali, Iran dan Korea

Oleh Mohd Amin Jalil

MALAYSIA mengambil keputusan melaksanakan sekatan perjalanan sepenuhnya ke atas semua rakyat Itali, Iran dan Korea daripada memasuki negara ini berkuatkuasa Jumaat ini.

Langkah itu diambil bagi menyekat penularan wabak Covid-19 yang setakat hari ini sudah menjangkiti 149 rakyat negara ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, warga negara lain yang datang dari tiga negara terbabit dan memasuki atau transit ke negara ini turut terbabit dengan sekatan itu.

“Jemaah Menteri yang bermesyuarat hari ini memutuskan bahawa sekatan perjalanan sepenuhnya terhadap semua rakyat Itali, Iran dan Korea.

“Warga asing lain yang datang dari tiga negara berkenaan yang mahu memasuki Malaysia atau transit daripada pintu masuk turut menerima sekatan.

“Langkah komprehensif perlu diambil dan kita akan teruskan langkah strategik untuk menangani wabak ini secara efektif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Bandar Enstek di Nilai hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Mohamad Zahari Razali dan Pegawai Kesihatan Daerah Seremban Dr Mohd Noor Khalili Mohd Ali.

Terdahulu, beliau turut beramah mesra dengan rakyat tempatan dan asing yang dibebaskan selepas menjalani kuarantin selama 14 hari.

Seramai 68 orang termasuk 20 rakyat asing kebanyakannya dari China dibenarkan pulang ke rumah dan negara masing-masing selepas mereka didapati negatif Covid-19.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan ke Itali, Iran dan Korea sekiranya perjalanan itu tidak mendesak atas faktor risiko semasa berada di negara berkenaan.

“Mana-mana rakyat Malaysia atau penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang yang tiba dari tiga negara berkenaan akan dikenakan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah selama 14 hari di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” kata Ahli Parlimen Tenggara itu.

Beliau memaklumkan, Kabinet juga membuat keputusan sekatan perjalanan ke tiga wilayah di China iaitu Hubei, Zhejiang dan Jiangsu serta Hokaido di Jepun yang diputuskan sebelum ini masih berkuat kuasa.

Menurutnya, bagi rakyat Malaysia yang masih berada di ketiga-tiga negara terbabit, tindakan kuarantin akan dikenakan di sana.

“Rakyat Malaysia yang terkandas di China, tindakan lanjut akan dilakukan berpandukan cadangan daripada Wisma Putra,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 11, 2020 @ 5:23pm
    d