mutakhir

Kerajaan lancar tabung Covid-19 [METROTV]

Oleh BERNAMA

PRIHATIN dengan individu yang terjejas dengan jangkitan koronavirus baharu (Covid-19), kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini, melancarkan tabung khas bagi memberi bantuan kewangan kepada pihak yang memerlukan.

Muhyiddin berkata, untuk permulaan, bantuan ihsan sebanyak RM1juta disalurkan untuk tabung berkenaan bagi membantu pesakit yang tidak mempunyai pekerjaan dan terganggu kerana terpaksa menjalani tempoh kuarantin 14 hari sebelum pulih.

“Kita tidak mahu kehidupan mereka ini terjejas. Jadi ini antara bentuk bantuan ihsan yang kita sampaikan.

“Kalau kita dapat kumpul dana daripada rakyat jelata, apa sahaja kita kumpulkan, akan kita kembalikan kepada mereka yang berhak,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet kerajaan PN di Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.

Bagi menzahirkan keprihatinan mereka, barisan Jemaah Menteri yang menghadiri mesyuarat itu menyumbang ke dalam tabung yang diedarkan pada majlis pelancaran Tabung Covid-19 selepas sidang media berkenaan.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pada satu majlis di Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), Nilai berkata, melalui tabung itu, wang ihsan sebanyak RM100 sehari akan diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau tiada gaji sepanjang menjalani tempoh kuarantin.

Kutipan tabung Covid-19 yang diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dilancar bagi membantu mereka yang terkesan dengan jangkitan virus itu, iaitu mereka yang menjalani pemantauan di rumah selama 14 hari atau rawatan di hospital ekoran positif Covid-19.

Jumlah kes Covid-19 di Malaysia meningkat ke 149 kes hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Kabinet baharu |
  • Barisan Kabinet baharu
  • Disiarkan pada: March 11, 2020 @ 5:29pm
    d