mutakhir

Covid-19: Masjid Jamek Seri Petaling dibersihkan esok

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

TUGAS pembersihan dan nyahkuman di Masjid Jamek Seri Petaling, Kuala Lumpur, akan dijalankan esok berikutan terdapat kes positif jangkitan Covid-19 daripada peserta ijtimak tabligh.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, proses berkenaan dilakukan selepas pihaknya mendapati memang berlaku kes Covid-19 di masjid berkenaan.

“Kita mendapat keputusan sah kes. Kita akan segera menjejaki (peserta) dan melaksanakan tanggungjawab (pembersihan) esok atau secepat mungkin.

“Mereka yang terdedah diminta membuat saringan di 52 hospital kerajaan atau swasta di seluruh negara.

“Sekiranya terkena Covid-19, pesakit akan menjadi keutamaan diletakkan di Hospital Sungai Buloh,” katanya pada sidang media di Hospital Sungai Buloh, hari ini.

Dr Adham menggesa 5,000 rakyat Malaysia yang menyertai ijtimak tabligh di masjid itu dan kontak rapat mereka tampil menjalani saringan bagi mengekang jangkitan.

“Kita tidak tahu siapa (peserta) sebab itu kita merayu mereka tampil. Buat masa ini, negara merekodkan 149 kes positif Covid,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan seorang peserta ijtimak tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu positif Covid-19.

Pesakit yang dikenal pasti warga tempatan berusia 60 tahun itu adalah kes ke-131 yang dikesan KKM dan mula mempunyai gejala demam, batuk serta selsema pada 4 Mac lalu.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata, kerajaan tidak mengenakan sekatan kepada rakyat Malaysia yang berada di negara terjejas Covid-19 untuk pulang ke Malaysia.

Menurutnya, sekatan kerajaan yang berkuat kuasa hari ini hanya dikenakan ke atas rakyat Itali, Iran dan Korea Selatan serta warga asing lain yang tiba dari negara berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 12, 2020 @ 6:09pm
    d