mutakhir

UiTM tangguh konvokesyen

Oleh Norzamira Che Noh

UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) menangguhkan Istiadat Konvokesyen ke-92 universiti itu yang dijadualkan bermula pada 24 Mac ini.

Ia susulan perkembangan penularan Covid-19 berdasarkan laporan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim berkata, penangguhan itu akan membabitkan istiadat konvokesyen di kampus Shah Alam serta kesemua kampus cawangannya.

“Penularan Covid-19 yang berlaku di seluruh dunia menyebabkan WHO mengisytiharkan ia sebagai Pandemik. Pengurusan UiTM perlu mengambil tindakan pencegahan dan proaktif demi kesihatan dan keselamatan seluruh warga UiTM dan masyarakat amnya.

“Selepas mengambil kira nasihat daripada KKM serta Mesyuarat Khas Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-92, pihak Pengurusan Eksekutif UiTM membuat keputusan menangguhkan Istiadat Konvokesyen UiTM ke - 92 di kampus Shah Alam serta semua kampus cawangan.

“Tarikh baharu untuk istiadat berkenaan akan dimaklumkan kelak,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, segala kesulitan dan perkara bersangkutan yang berbangkit adalah amat dikesali.

Katanya, pengurusan UiTM juga amat menghargai kefahaman, sokongan dan kerjasama yang diberikan semua pihak di dalam hal itu.

“Bersamalah kita berdoa dan mengharapkan wabak ini dapat ditangani segera dan keadaan kembali pulih sepenuhnya,” katanya.

Istiadat Konvokesyen UiTM dijadualkan bermula pada 24 Mac ini di kampus utama di Shah Alam dan diikuti 11 kampus cawangan iaitu di Melaka, Perlis, Kedah, Penang, Negeri Sembilan, Kelantan, Sabah, Terengganu, Sarawak, Pahang dan Perak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 12, 2020 @ 8:18pm
    d