mutakhir

Kes pertama Covid-19 di Sabah

Oleh Abdul Rahemang Taiming

SEORANG lelaki tempatan berumur 58 tahun dari Tawau disahkan sebagai individu pertama positif Covid-19 di Sabah.

Lelaki itu antara 350 jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Jamek Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu.

Difahamkan, lelaki yang tinggal di Kampung Pasir Putih, Tawau mula mempunyai gejala demam, batuk serta selsema pada 3 Mac sebelum dimasukkan ke Hospital Besar Tawau (HBT) pada 10 Mac lalu.

Pegawai Kesihatan Tawau, Dr G Navindran berkata, pesakit terbabit dilaporkan dalam keadaan stabil dan sudah diasingkan dalam wad isolasi serta sedang menerima rawatan rapi.

“Memandangkan ini kes pertama, semua kontak rapat termasuk ahli keluarga pesakit sudah dikuarantin selama 14 hari di rumah masing-masing sebagai langkah pencegahan awal penularan wabak berkenaan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat khas Majlis Tindakan Bencana Daerah di bilik persidangan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) petang tadi.

Navindran berkata, setakat hari ini seramai 173 jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Jamek Seri Petaling sudah tampil menjalani ujian saringan dan pihaknya tidak mengesan sebarang gejala berkaitan kes itu.

Dalam pada itu, Presiden MPT, Datuk Amrullah Kamal berkata, berikutan kes terbaru itu, Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) 2020 yang dijadual pada 18 hingga 21 Mac ini terpaksa ditangguhkan.

“Atas nasihat pejabat kesihatan dan demi kesejahteraan penduduk Tawau, FKAT ditangguhkan sehingga ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 12, 2020 @ 9:34pm
    d