mutakhir

Kediaman tabligh di Labuan jalani proses disinfeksi

Oleh BERNAMA

DUA kediaman tabligh di kawasan perumahan di pulau bebas cukai, Labuan, menjalani proses disinfeksi oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) Labuan.

Ia berikutan pengesahan jemaah tabligh dari Brunei dan Tawau, di Sabah yang didapati positif koronavirus baharu (Covid-19).

Dalam satu kenyataan kepada Bernama pagi ini, CPRC menjelaskan, selain dua kediaman itu, tingkat dua bangunan UTC Labuan yang menempatkan dua pejabat Jabatan Persekutuan juga dikosongkan bermula pagi ini sebagai langkah pencegahan awal.

Pengesahan berhubung sama ada jemaah tabligh dari Labuan didapati positif Covid-19 hanya akan disahkan Kementerian Kesihatan.

Oleh yang demikian, CPRC Labuan menasihatkan warga Labuan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kerja disinfeksi ini dan tindakan undang-undang akan diambil sekiranya didapati spekulasi yang dikeluarkan menyebabkan gangguan ketenteraman umum.

CPRC Labuan juga berkata, lebih 40 jemaah dari Labuan yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dari 27 Februari hingga 1 Mac lalu, sebilangan besarnya melakukan proses pemeriksaan saringan dan selebihnya sedang dikesan pihak Jabatan Kesihatan Labuan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 13, 2020 @ 3:42pm
    d