mutakhir

UMP tangguh semua program

Oleh Asrol Awang

MENGAMBIL kira nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengumumkan penangguhan semua program atau aktiviti anjuran universiti itu yang membabitkan perhimpunan di dalam dan luar kampus universiti.

Di antara program yang ditangguhkan termasuk penganjuran Karnival Kerjaya, Usahawan & TVET yang dijadualkan berlangsung di Kompleks Sukan UMP pada 21 dan 22 Mac ini.

Ketua Pegawai Operasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bencana (JKBB) UMP, Prof Madya Dr Mohd. Ridzuan Darun berkata, tindakan itu berikutan perkembangan terkini penularan jangkitan wabak coronavirus (Covid-19) yang berlaku di seluruh dunia.

“Sebagai langkah pencegahan dan proaktif demi kesihatan dan keselamatan, UMP menangguhkan pembabitan warga kami ke program atau aktiviti luar membabitkan perhimpunan awam.

“Sebarang perjalanan ke luar negara atas urusan rasmi atau urusan peribadi juga ditangguhkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, UMP mengambil maklum isu tular di media sosial mengenai staf UMP Services Sdn Bhd (anak syarikat UMP Holdings) yang dikaitkan dengan kes jangkitan penyaki Covid-19).

Katanya, penularan itu bermula apabila UMP Holdings Sdn Bhd (UMPH) mengambil inisiatif menjalankan tindakan pencegahan selepas mengenalpasti seorang staf syarikat itu mempunyai sejarah menghadiri ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling pada 1 Mac lalu.

“Bagi menyahut saranan langkah mematuhi arahan dalam kenyataan yang dikeluarkan KKM, pihak syarikat menasihatkan staf itu menjalankan saringan pemeriksaan kesihatan awal di hospital berdekatan sebagai membendung penularan penyakit ini.

“Namun tindakan pihak syarikat dengan menyegerakan kerja pembersihan pejabat sebagai usaha pencegahan bagi mengelakkan sebarang risiko, disalahertikan sehingga tular gambar dan berita yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan warga kampus dan orang ramai yang membuat spekulasi tentang Covid-19 ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan warga UMP bertenang dan sentiasa berhati-hati supaya tidak menyebarkan berita atau gambar yang belum pasti kebenarannya.

“UMP akan terus memantau perkembangan jangkitan ini melalui maklumat yang diperoleh daripada KKM dan Kementerian Pengajian Tinggi.

“Pusat Kesihatan Universiti (PKU) juga sentiasa berhubung rapat dengan Pejabat Kesihatan Daerah sejak bermulanya penularan wabak Covid-19 di negara ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 13, 2020 @ 4:39pm
    d