mutakhir

Qunut Nazilah mohon terhindar Covid-19

Oleh Omar Ahmad

MASJID Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) mengambil inisiatif meletakkan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) di setiap pintu masuk masjid bagi kegunaan jemaah sebagai langkah pencegahan penularan wabak COVID-19.

Imam Masjid LTAS Mohd Izad Abd Aziz berkata, selain itu, pihaknya juga meletakkan sabun basuh di setiap bilik air dan tempat wuduk.

Katanya, pengurusan masjid LTAS juga menjalankan kerja pembersihan ringkas pada pemegang pintu masjid.

“Selain itu, atas nasihat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Tosrin Jarvanthi, kami membaca doa qunut nazilah memohon dihindarkan daripada wabak pada setiap rakaat kedua solat Jumaat.

“Untuk solat fardu, kita bersama jemaah membaca doa khas memohon pertolongan daripada Allah SWT supaya dihindari daripada wabak ini. Semua ini akan diteruskan sehingga wabak berakhir.

“Kita sudah mula perkara ini tiga hari lalu dan ini Jumaat pertama. Alhamdulillah, hari ini, kira-kira 3,500 jemaah hadir untuk solat Jumaat,” katanya.

Menurut Mohd Izad, pada masa sama, jemaah turut dinasihati tidak berjabat tangan selepas solat.

“Semoga langkah diambil ini dapat mengurangkan penularan Covid-19 dengan izin Allah SWT,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 13, 2020 @ 5:41pm
    d