mutakhir

Patuh panduan Covid-19 - JAIPk

Oleh Balqis Jazimah Zahari

JABATAN Agama Islam Perak (JAIPk) menyambut saranan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan meminta kesemua Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau di negeri ini untuk mematuhi panduan yang diberikan bagi membendung penularan jangkitan Covid-19.

JAIPk menerusi satu kenyataannya berkata, pihaknya menyarankan melaksanakan beberapa perkara sebagai langkah mengawal penularan wabak itu.

Katanya, pihak jawatankuasa masjid hendaklah sentiasa peka terhadap arahan semasa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa KKM dan JAIPk.

“Pihak jawatankuasa kariah diminta menyediakan ‘hand sanitizer’ (cecair pembasmi kuma) atau sabun yang secukupnya dan kerapkali disinfeksi bangunan masjid dan surau untuk mencegah jangkitan.

“Sentiasa memastikan peralatan seperti sejadah, telekung, kain pelikat, tasbih dan lain-lain di dalam masjid dan surau berada dalam keadaan bersih,” katanya.

Menurut kenyataan itu, program kuliah dan majlis keagamaan seperti kelas pengajian dan forum yang membabitkan kehadiran melebihi 100 orang adalah tidak digalakkan.

“Program kuliah dan majlis keagamaan seperti kelas pengajian dan forum yang membabitkan kehadiran lingkungan 50 orang, pihak masjid dan surau disyorkan untuk menyediakan peralatan ‘hand sanitizer.’

“Disyorkan agar menjemput penceramah dari kalangan anak tempatan (di dalam daerah atau negeri). Mesyuarat juga dilaksanakan dalam kadar masa yang tidak terlalu lama dan kapasiti keahlian yang kecil,” katanya.

Katanya, bagi pegawai masjid pula, memastikan mengadakan bacaan qunut nazilah pada setiap waktu solat terutama solat Jumaat selain turut mengadakan solat hajat .

Selain itu, katanya bagi jemaah yang datang ke masjid pula digalakkan untuk mengambil wuduk dari rumah dan memakai penutup hidung dan mulut.

“Pesakit yang disyaki menghidap wabak Covid-19 dinasihatkan agar menunaikan solat fardhu di rumah termasuk hari Jumaat.

“Ahli qariah yang mempunyai gejala batuk, demam dan sukar bernafas dinasihatkan agar tidak hadir ke masjid atau surau,” katanya.

Katanya, jemaah juga dinasihatkan sentiasa membasuh tangan menggunakan cecair pembasmi kuman atau sabun yang disediakan oleh pihak masjid.

“Jemaah dinasihatkan agar sentiasa mendapatkan maklumat yang sahih daripada KKM dan sentiasa bertenang dalam menghadapi situasi dengan mengikut arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

“JAIPk menyeru kepada semua muslimin dan muslimat untuk meningkatkan ketaqwaan, bermuhasabah dan banyakkan bersabar ketika menerima ujian ini dan marilah bersama kita bermunajat dan memohon doa kepada Allah SWT agar dihindarkan daripada wabak Covid-19 serta penyakit yang kronik dan berjangkit,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 14, 2020 @ 11:53am
    d