mutakhir

Masjid Al-Kauthar Tawau sahut seruan

Oleh Abdul Rahemang Taiming

MASJID Al-Kauthar Tawau menyahut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan mengambil inisiatif membersihkan masjid sebagai langkah mencegah penularan wabak Covid-19.

Pengerusinya, Khalid Mohd Tahir berkata, usaha itu juga selari dengan saranan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Tawau melalui notis arahan yang dikeluarkan semalam.

Beliau berkata, pihaknya menyambut baik saranan itu bagi memastikan tahap kebersihan di segenap ruang masjid dalam keadaan bersih termasuk ruang solat utama dan tandas.

“Ahli jawatankuasa masjid juga merancang untuk menyediakan penutup mulut dan hidung selain cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) untuk kegunaan jemaah, bagaimanapun bekalan bahan itu sukar diperoleh di pasaran ketika ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya, pihak masjid dari semasa ke semasa membantu kerajaan dalam menyalurkan maklumat kepada jemaah termasuk membuat pengumuman dan penerangan berkaitan wabak Covid-19 termasuk larangan kepada individu atau jemaah tabligh yang mempunyai gejala penyakit itu supaya tidak hadir solat berjemaah di masjid untuk sementara waktu.

“Maklumat ini perlu dijelaskan kerana ia sangat penting memandangkan Masjid Al-Kauthar adalah masjid terbesar di daerah ini dan menjadi tempat tumpuan orang ramai untuk menunaikan ibadat selain menghadiri program agama.

“Ceramah harian dan kuliah agama masih diteruskan seperti biasa dan setakat ini belum ada keperluan untuk kita menghentikan program yang berskala kecil di masjid ini,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menerusi kenyataan ringkas di Facebook, hari ini, berkata pihak pengurusan masjid dan surau juga disarankan kerap membersihkan permaidani, pintu dan selusur (railing) dengan menggunakan bahan pencuci dan bahan penyahjangkit (disinfectant).

Menerusi kenyataan itu, KKM menasihatkan Ahli Jawatankuasa dan pengurusan masjid dan surau supaya mengambil langkah-langkah pencegahan dan pembersihan masjid dan surau masing-masing.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 14, 2020 @ 3:28pm
    d