mutakhir

21 masih menjalani pemeriksaan di Hospital Melaka

Oleh Amir Mamat

SEKURANG-kurangnya 134 individu termasuk peserta yang menghadiri program tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur, sudah disaring di Hospital Melaka.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri Rahmad Mariman berkata, sepanjang tempoh itu, 47 dimasukkan ke wad bagi menjalani pemeriksaan.

Bagaimanapun, katanya, daripada jumlah itu, hanya 21 yang masih ditahan di wad hospital berkenaan bagi pemeriksaan lanjut, manakala selebihnya sudah dibenarkan pulang.

“Walaupun pesakit dibenarkan pulang namun mereka tetap dipantau dan masih dalam pemerhatian Jabatan Kesihatan negeri termasuk menjalani pemeriksaan dari semasa ke semasa.

“Kementerian Kesihatan di Melaka menyediakan sembilan ambulans bagi membawa mereka yang disyaki pesakit Covid-19, justeru tidak perlu tertumpu di Hospital Melaka sahaja kerana mereka boleh melakukan pemeriksaan di hospital daerah serta swasta, selain klinik kesihatan dengan menggunakan ambulans khas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat lokasi saringan Covid-19 di Hospital Melaka hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Hospital Melaka Dr Sharifah Omar dan Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Melaka Dr Khamarul Ariffin Arif.

Dalam pada itu, Rahmad berkata, mereka yang menghadiri program tabligh itu perlu memberikan kerjasama dengan membuat saringan kesihatan bagi mengelak penularan Covid-19 yang sudah diisytiharkan sebagai pandemik.

“Saya berharap peserta perhimpunan itu membuat pemeriksaan kesihatan, kita tidak mahu wabak ini merebak.

“Kita sudah menjalankan saringan ke atas mereka (peserta perhimpunan) namun masih ada lagi yang belum berbuat demikian. Inilah kebimbangan kita sekarang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 14, 2020 @ 7:36pm
    d