mutakhir

Masjid Al Munawwarah tak ditutup - JAIS

Oleh Norzamira Che Noh

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan Masjid Al Munawwarah di Seksyen 27 di sini tidak ditutup susulan seorang jemaahnya positif Covid-19 seperti yang dinyatakan pihak masjid menerusi satu kenyataan, hari ini.

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, JAIS hanya akan membenarkan perkara itu sekiranya arahan menutup masjid dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Setakat ini, JAIS ada menerima permohonan Masjid Al Munawwarah, Seksyen 27, untuk ditutup sementara waktu kerana seorang jemaahnya dijangkiti Covid-19 ketika bercuti di Vietnam.

“Bagaimanapun, perkara itu tidak dibenarkan dan meminta pihak masjid menarik balik arahan penutupan sementara yang dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata, pihak masjid juga diminta memaklumkan kepada jemaah agar mereka yang terlibat dan dikenal pasti positif atau sedang menunggu keputusan menjalani tempoh kuarantin di rumah masing-masing.

Menurutnya lagi, setakat ini, semua masjid di Selangor tidak ditutup dan beroperasi seperti biasa.

Terdahulu, tinjauan di masjid berkenaan mendapati notis meminta jemaah menunaikan solat di rumah masing-masing atau surau dan masjid berdekatan bermula hari ini.

Notis itu juga memaklumkan bahawa masjid itu ditutup sementara waktu untuk kerja pembersihan dan sanitasi sehingga dimaklumkan.

Sementara itu, Nazir masjid, Muhaiyat Husin ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya menasihatkan agar jemaah yang kurang sihat tidak hadir ke masjid sebaliknya solat di rumah sahaja.

“Kita tidak menghalang orang hadir ke masjid cuma kita tidak galakkan kerana proses pembersihan dan sanitasi belum dilakukan.

“Kita masih menunggu makluman daripada JAIS mengenai langkah pembersihan serta sanitasi masjid dan kami jangka ia akan dilakukan esok,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 15, 2020 @ 11:38am
    d