mutakhir

Mohon Covid-19 disenarai penyakit diberi cuti kuarantin

Oleh BERNAMA

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kerajaan supaya mempertimbang memasukkan Covid-19 ke dalam senarai jenis penyakit berjangkit yang diberikan kemudahan cuti kuarantin.

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata, kemudahan cuti kuarantin kepada ibu bapa dan penjawat awam perlu diberikan berikutan pengisytiharan Covid-19 sebagai pandemik dan wabak itu perlu dimasukkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2016.

Pekeliling itu memperuntukkan kemudahan cuti kuarantin, enam penyakit berjangkit iaitu penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), demam denggi dan demam denggi berdarah, campak, cacar air, difteria serta malaria.

“Cuepacs merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh warga kerja yang terbabit dalam menangani Covid-19. Diharap mereka bersabar dan terus tekun dalam menjalankan tugas.

“Cuepacs akui akan kesusahan yang sedang mereka lalui dan tiada sebarang rungutan diterima walaupun bertugas dalam keadaan masa tidak menentu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adnan berkata, pertubuhan itu turut memohon supaya pihak bank mengambil inisiatif menangguhkan dan membuat penstrukturan semula bayaran balik pinjaman penjawat awam serta kakitangan syarikat yang terjejas pendapatan akibat penularan wabak itu.

“Cuepacs menerima banyak keluhan warga pekerja dan rakyat yang hilang pendapatan sementara memandangkan banyak industri dan syarikat terjejas dan ada antara mereka serta kakitangan diberi notis cuti sementara tanpa gaji akibat Covid-19,” katanya.

Katanya, pihaknya menyambut baik inisiatif Kementerian Kesihatan menempatkan 1,000 doktor pelatih di hospital kerajaan seluruh negara bagi membantu melicinkan operasi harian susulan penularan Covid-19. - Bernama

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 15, 2020 @ 1:45pm
    d