mutakhir

Ibu kota lengang [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

CUTI penggal pertama persekolahan sudah bermula semalam, namun suasana di beberapa tempat riadah dan pusat beli-belah di ibu kota suram dipercayai susulan penularan Covid-19.

Tinjauan Harian Metro di KLCC di Kuala Lumpur mendapati pusat beli belah yang menjadi tumpuan dan popular dalam kalangan rakyat tempatan dan pelancong asing itu lengang berbanding penuh sesak ketika cuti persekolahan sebelum ini.

Malah, pelanggan yang berkunjung ke pusat beli belah itu dilihat mengambil langkah pencegahan dengan memakai penutup mulut dan hidung.

Pengunjung, Zakaria Abd Hamid, 49, mengakui suasana amat berbeza apabila tidak ramai yang datang ke pusat beli belah itu.

Perawat perubatan Islam dari Pulau Pinang itu berkata, dia membawa tujuh ahli keluarganya bercuti datang ke ibu kota sempena cuti sekolah.

“Kebetulan saya ada merawat pesakit di Kuala Lumpur, jadi saya bawa mereka bercuti ke KLCC. Tidak sangka pula orang tak ramai.

“Mungkin ramai ambil langkah pencegahan untuk tidak berkunjung di tempat awam bagi mengelak dijangkiti Covid-19.

“Saya juga ambil langkah waspada dengan memakai penutup mulut dan hidung kerana kita tidak tahu siapa pembawa (Covid-19),” katanya ketika ditemui, hari ini.

Bagi Zulafiq Anuar Azmi, 28, dia ke pusat beli belah itu kerana mahu berjumpa rakannya dan mendapati pengunjung berkurangan berbanding penuh sesak tanpa mengira waktu sebelum ini.

Berbeza pula bagi Nabila Hassan, 29, yang mendakwa beberapa lokasi tumpuan termasuk pengangkutan awam dipenuhi orang ramai seperti biasa.

“Saya lihat di stesen LRT (transit aliran ringan) tetap ramai, malah pusat beli-belah juga dikunjungi orang.

“Aktiviti harian berjalan seperti biasa dan tidak terjejas. Bagaimanapun, kita dinasihatkan memakai penutup mulut dan hidung serta memakai pembasmi kuman untuk mengelak dijangkiti Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 15, 2020 @ 3:12pm
    d