mutakhir

Covid-19: Festival Halal, Fiesta Belon Borneo ditunda

Oleh BERNAMA

DUA festival antarabangsa yang akan diadakan di dua negeri, ditunda berikutan penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Di Johor, Festival Islam dan Halal Antarabangsa 2020 (FIJO 2020) yang dijadualkan berlangsung akhir bulan ini, ditunda ke Oktober berikutan kebimbangan Covid-19, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Izhar Ahmad.

Beliau berkata, kerajaan negeri bertindak menangguhkan ekspo itu bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 yang dilihat berada di fasa yang membimbangkan.

“Saya yakin dengan penangguhan selama lima bulan ini serta usaha dan komitmen yang diberikan daripada kerajaan dan juga rakyat bagi melihat suatu pencapaian baik untuk mengurangkan kadar kes Covid-19 akan berhasil.

“Semua agensi kerajaan berkaitan mengambil langkah selaras dengan perkembangan terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan Malaysia,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Johor Bahru, hari ini.

FIJO 2020 yang dijadual berlangsung selama empat hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada itu adalah ekspo yang berlandaskan konsep perniagaan dan dakwah, dan tarikh baharu dijadual pada 22 hingga 25 Oktober depan.

Sementara itu, di Sarawak, Fiesta Belon Borneo 2020 yang dijadualkan pada 11 dan 12 April di Dataran Celebrati, Stadium Negeri, Petra Jaya ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang ditetapkan kemudian.

Penganjur acara, Nex Vision Sdn Bhd dalam satu kenyataan memaklumkan, perkembangan terkini Covid-19 yang semakin meningkat menjadikan mustahil untuk meneruskan penganjuran acara pada tarikh yang ditetapkan.

“Walaupun kami teruja untuk menganjurkan satu fiesta yang hebat untuk kali pertamanya di Kuching, namun kesejahteraan masyarakat menjadi keutamaan,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, penganjur tetap bersemangat untuk terus menganjurkan acara itu sebaik sahaja mendapat maklumat terkini dan lampu hijau daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Terkini, kerajaan Sarawak menggesa agar penganjuran perhimpunan awam membabitkan penyertaan lebih daripada 50 orang ditangguhkan ke satu tarikh kemudian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 15, 2020 @ 7:03pm
    d