mutakhir

UiTM, UTP arah adakan kuliah 'online'

Oleh Ruwaida Md Zain

UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) masing-masing hari ini mengeluarkan pekeliling khas agar pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan secara dalam talian.

Keputusan itu dibuat sebagai usaha mengawal dan mengekang penularan koronavirus (COVID-19) kebelakangan ini.

Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim berkata, Pekeliling Naib Canselor itu berkuatkuasa serta merta bagi semua UiTM seluruh negara.

“Kita sudah buat keputusan pagi ini, kita akan mengedarkan pekeliling hari ini ke seluruh sistem bagi pengajaran dan pembelajaran secara online (dalam talian).

“Keputusan ini melihat kepada keadaan semasa yang mana wabak ini menular, tambahan pula ada kakitangan dan penuntut terbabit (perhimpunan di Sri Petaling). Jadi kita mahu melindungi kakitangan dan penuntut lain dari wabak ini.

“Kuliah secara online ini hampir 70 hingga 80 sudah dilaksanakan tapi hari ini kita buat keputusan menyeluruh. Keputusan diambil bergantung kepada nasihat KKM dan melihat kepada keadaan semasa,” katanya ketika diminta mengulas UiTM Sarawak yang sudah melaksanakan kuliah secara online.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara UiTM dengan UTP di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin UiTM, di Shah Alam hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif UTP, Profesor Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib; Timbalan Naib Canselor Akademik UTP, Profesor Ir Dr Hilmi Mukhtar dan Dekan Fakulti Pengurusan Maklumat UiTM, Profesor Dr Sohaimi Zakaria.

Mohd Azraai berkata, UiTM sudah mengenalpasti seramai 15 kakitangan dan 23 penuntut menyertai perhimpunan di Sri Petaling, baru-baru ini.

“Kita sudah arahkan mereka ke Pusat Kesihatan UiTM dan Alhamdulillah semua negatif tetapi kita letakkan mereka dalam ‘home surveillance’,” katanya.

Berkenaan penangguhan konvokesyen UiTM yang sepatutnya dijadualkan pada 24 sehingga 31 Mac ini katanya, UiTM sudah membuat keputusan dengan memilih Ogos depan.

“Akan dilanjutkan pada Ogos, bergantung kepada keadaan sebenar nanti tetapi belum ada tarikh,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Ibrahim juga mengesahkan UTP mengambil pendekatan sama sebagai langkah berjaya-jaga dan pencegahan.

“Kami juga sama seperti UiTM, hari ini kita keluarkan pekeliling kepada pelajar dan kakitangan UTP, setakat ini untuk seminggu ini sahaja tetapi kami akan buat keputusan seterusnya.

“Kita ambil tindakan kuliah online ini sebab kebanyakan penuntut datang dari sekitar Kuala Lumpur, ada yang ulang alik. Takut kalau tidak dikawal akan jadi lebih teruk.

“Setakat ini dua kakitangan dikenalpasti sudah berada dalam kuarantin di rumah, sudah menjalani rawatan dan sedang menunggu keputusan Patient Under Investigation (PUI). Alhamdulillah belum ada positif,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 2:12pm
    d