mutakhir

Tindakan tegas jika harga tidak munasabah

Oleh Mohd Rafi Mamat

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik premis yang menjual penutup hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) pada harga yang tidak munasabah.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Pahang, Ahmad Fitri Ali berkata pihaknya memandang serius sekiranya terdapat premis dan farmasi tertentu yang cuba mengambil kesempatan ketika wabak Covid-19 sedang melanda negara kini.

Menurutnya, bagi memastikan pemilik premis tidak mengambil kesempatan pemeriksaan secara berterusan dilakukan di semua daerah bagi memastikan pengguna tidak terus ditindas.

“Kementerian berharap peniaga menjual pada harga yang munasabah dan tidak mengambil kesempatan bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Sabit kesalahan individu itu boleh dikenakan denda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya akan dikenakan bagi kesalahan pertama, bagi kesalahan kedua dan berikutnya akan dikenakan denda sebanyak RM250,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Ahmad Fitri berkata bagi kesalahan dilakukan oleh pertubuhan perbadanan atau syarikat, mereka boleh dikenakan denda sebanyak RM500,000 bagi kesalahan pertama, denda RM1 juta bagi kesalahan kedua atau berikutnya/

“Walaupun bekalan topeng muka dan cecair pembasmi kuman kini tidak mencukupi namun peniaga perlu mengikut senarai harga dicadangkan pihak pengeluar bukan sesuka hati menjual pada harga tinggi.

“Peniaga jangan hanya mementingkan keuntungan berlipat kali ganda dalam masa singkat, tersilap langkah terpaksa membayar denda yang dikenakan.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro mendapati terdapat premis menjual harga sebotol cecair pembasmi kuman bersaiz 500 mililiter dengan harga RM50 hingga RM 70 berbanding sebelum ini RM40 hingga RM45.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 2:57pm
    d