mutakhir

Covid-19: PM buat pengumuman penting malam ini

Oleh Redzuan Muharam

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan akan membuat pengumuman besar berhubung langkah diambil kerajaan susulan penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19) malam ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita ketika sidang media, di Putrajaya, hari ini.

Menurut Muhyiddin, beliau akan mempengerusikan mesyuarat khas yang dihadiri semua menteri dan agensi terbabit di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan langkah yang perlu diambil dan bagaimana kita menguruskan krisis ini.

“Kita lakukannya dengan serius memandangkan ia sudah memasuki gelombang kedua dan adanya peningkatan dari segi kes,” katanya.

Ketika ditanya pemberita sama ada berhubung dengan China bagi membincangkan perkara itu, Muhyiddin berkata, tiada keperluan untuk berbuat demikian.

Muhyiddin juga enggan mengulas kemungkinan adanya perintah berkurung dan meminta menunggu pengumuman rasmi daripadanya malam ini.

“Saya tidak rasa ada keperluan untuk berhubung dengan China. Saya tahu China berdepan masalah yang sama.

“Kami hargai pengalaman China berdepan dengan krisis itu, kami percaya ada sesuatu yang boleh dipelajari.

“Namun, kita ada langkah yang perlu. Saya akan umumkannya hari ini, sila tunggu sehingga pengumuman itu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 7:05pm
    d