mutakhir

Covid-19: Tiada 'lockdown' di PJ, tak perlu pembelian panik

Oleh BERNAMA

PENULARAN berita palsu kononnya kerajaan akan mengumumkan perintah berkurung atau ‘lockdown’ menyebabkan segelintir penduduk di beberapa lokasi di Petaling Jaya melakukan pembelian panik membabitkan barangan keperluan harian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, hari ini ada pihak tidak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan palsu bahawa kerajaan mengisytiharkan perintah berkurung susulan penularan jangkitan koronavirus baharu (Covid-19).

Beliau menegaskan, setakat ini tiada sebarang arahan perintah berkurung diisytiharkan oleh kerajaan.

“Berdasarkan maklumat dan pemerhatian, orang ramai mula menyerbu premis perniagaan untuk mendapatkan bekalan keperluan berkenaan,” katanya sambil menyatakan berita palsu itu dikongsikan di media sosial.

Justeru, beliau meminta orang ramai supaya sentiasa membuat semakan dari masa ke masa menerusi agensi yang bertanggungjawab seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.

“Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi balai polis berhampiran untuk mendapatkan pengesahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hari ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan sejumlah 125 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah positif sebanyak 553 kes.

Katanya, 95 daripadanya jumlah kes baharu itu mempunyai kaitan kes kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur. Keseluruhannya, 42 kes sudah sembuh.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik bermaksud penyakit tersebar dengan begitu meluas merentasi sempadan malah hingga ke seluruh dunia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 8:06pm
    d