mutakhir

Jangan ambil kesempatan!

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin dan Murnaena Muhammad Nasir

SEBANYAK RM1.03 juta kerugian dicatatkan membabitkan kes penipuan penutup mulut dan hidung direkodkan di Selangor bagi tempoh 1 Januari lalu hingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, 40 kertas siasatan dibuka sepanjang tempoh berkenaan.

“Daripada 40 kertas siasatan itu, kami berjaya menahan lima individu tempatan termasuk seorang wanita membabitkan tiga kertas siasatan yang dibuka berkenaan.

“Semua kes direkodkan itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, penipuan itu dilakukan penjual menerusi media sosial dengan menunjukkan gambar produk bagaimanapun selepas tempahan dan pembayaran dibuat barangan berkenaan tidak sampai ke tangan pembeli.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut memberi amaran kepada peniaga dan pembekal supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang kawalan itu.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak didapati melakukan kesalahan menaikkan harga barang kawalan berkenaan.

“Kami akan mengambil tindakan kepada peniaga yang menjual melebihi harga kawalan terutamanya secara dalam talian.

“Pengguna juga perlu bijak membuat pembelian supaya tidak diperdaya,” katanya ketika dihubungi.

Iskandar berkata, pengilang tidak mampu menampung pesanan penutup mulut dan hidung susulan permintaan tinggi di pasaran ketika ini.

“Disebabkan itu, pihak kami akan meningkatkan import topeng mulut dan hidung dari negara Eropah. Kami juga melarang pengilang topeng mulut dan hidung mengeksport barangan berkenaan.

“Bagaimanapun harga bagi barangan berkenaan mungkin akan lebih mahal daripada biasa kerana kos penghantaran,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 10:08pm
    d