mutakhir

MKN bersidang setiap hari, pantau situasi Covid-19

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SIDANG Khas Majlis Keselamatan Negara akan bermesyuarat setiap hari untuk memantau dan mengawasi situasi wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mempengerusikan mesyuarat itu dan memaklumkan kepada rakyat negara ini perkembangan situasi wabak Covid-19 dari semasa ke semasa.

“Jika saudara-saudari (rakyat) mempunyai sebarang pertanyaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan, saudara-saudari boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara di talian hotline 03-88882010 bermula 12 tengah hari esok.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua petugas kesihatan, penjawat awam dan semua pihak yang bertungkus-lumus bekerja siang dan malam untuk membendung wabak ini,” katanya dalam perutusan khas Covid-19 di Putrajaya, malam ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin memberi jaminan bekalan makanan, keperluan harian dan penjagaan kesihatan, termasuk penutup hidung dan mulut mencukupi menjelang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac ini di seluruh negara.

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah diarahkan supaya sentiasa memantau situasi bekalan makanan dan keperluan harian di pasaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa.

“Saya merayu kepada saudara-saudari supaya sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ini kerana ia adalah tanggungjawab kita bersama yang mesti dilaksanakan sebagai rakyat prihatin,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 11:11pm
    d