mutakhir

Wisma Putra beroperasi seperti biasa

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

KEMENTERIAN Luar akan beroperasi seperti biasa walaupun kerajaan sudah mengumumkan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan bermula tengah malam ini.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pihaknya sudah mengarahkan Wisma Putra untuk beroperasi seperti biasa walaupun perlu dilaksanakan dari rumah, dalam talian atau apa jua cara.

Menurutnya, perkara itu penting demi memastikan fokus serta perancangan Wisma Putra berkaitan penularan wabak Covid-19 tidak akan terganggu.

“Rakyat kita di Itali dan Iran adalah tumpuan utama kementerian sekarang. Hari ini, saya juga arah Wisma Putra melihat kepada rakyat kita Amerika Syarikat.

“Selain itu, sekali lagi saya ingatkan rakyat Malaysia di negara terjejas supaya berdaftar dan sentiasa berhubung dengan pihak Kedutaan kita bagi memudahkan untuk sesi pemantauan serta hulur bantuan konsular,” katanya menerusi video yang dikongsi di Facebook rasminya hari ini.

Dalam pada itu, Hishammuddin turut berterima kasih kepada seluruh warga Wisma Putra termasuk perwakilan Malaysia di luar negara atas kesungguhan sepanjang krisis ini.

“Kepada rakyat dalam negara pula, saya harap semua patuh Perintah Kawalan Pergerakan ini. Saya juga menyeru dan merayu supaya kita menjaga keselamatan dan kesihatan.

“Kita mesti perangi wabak Covid-19 ini bersama-sama. Kita doakan juga, semoga wabak ini segera berakhir,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Luar Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, rakyat Malaysia di Iran dan Itali dijadual dibawa pulang minggu ini ekoran Covid-19 yang semakin meruncing di negara berkenaan.

Seramai 48 rakyat Malaysia di Iran dan 79 di Itali sudah menyatakan persetujuan untuk pulang ke negara ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 17, 2020 @ 4:07pm
    d