mutakhir

Covid-19: Selangor tetapkan larangan rai majlis perkahwinan

Oleh Norzamira Che Noh

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) menetapkan larangan mengadakan kenduri untuk meraikan majlis perkahwinan sesuai arahan Perdana Menteri dan Majlis Keselamatan Negara susulan penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

JAIS dalam satu kenyataan memaklumkan, pasangan yang ingin melangsungkan majlis akad nikah di Selangor perlu mengikuti tatacara pelaksanaan yang dikeluarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula tengah malam ini sehingga 31 Mac.

“Pelaksanaan majlis akad nikah hendaklah dilangsungkan dengan syarat ia dijalankan di premis persendirian dan dilarang sama sekali melangsungkan akad nikah di tempat awam seperti masjid, surau atau sebagainya.

“Majlis akad nikah itu hanya boleh dihadiri oleh seorang pendaftar atau penolong pendaftar perkahwinan, pengantin lelaki dan perempuan, seorang wali, dua orang saksi serta dua orang wakil bagi pihak pengantin lelaki dan perempuan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, perjalanan majlis akad nikah harus tidak melebihi 20 minit termasuk khutbah nikah.

“Akad nikah dilangsungkan tanpa berjabat tangan antara pengantin lelaki dengan wali atau Pendaftar dan Penolong Pendaftar Perkahwinan,” katanya.

Lebih lanjut, kenyataan itu menjelaskan langkah-langkah keselamatan yang dikemukakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hendaklah dipatuhi, termasuk berkaitan penyediaan cecair pencuci tangan, topeng dan jarak keselamatan antara individu.

Semalam, kerajaan memutuskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai esok sehingga 31 Mac di seluruh negara, selaras Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 bagi membendung penularan Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mengumumkan keputusan itu malam tadi, berkata perintah yang meliputi enam perkara itu membabitkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara, termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial serta budaya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 17, 2020 @ 5:03pm
    d