mutakhir

TBS turut diserbu

Oleh Faliqah Alia Radin Mohd

SUASANA di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur, hari ini sesak apabila diserbu orang ramai yang mahu pulang ke kampung halaman berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa esok.

Tinjauan Harian Metro mendapati jumlah kehadiran orang ramai terutama penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) meningkat berikutan pusat pengajian mereka turut ditutup.

Penuntut IPTA di Shah Alam, Khalis Amali Senu, 23, berkata dia mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman di Kelantan kerana bimbang dengan penularan wabak Covid-19.

“Saya bimbang akan dijangkiti virus (Covid-19) ini jika saya tinggal lama di kawasan Kuala Lumpur atau Selangor.

“Kami pun sudah diberi cuti oleh pihak IPTA disebabkan jumlah pesakit yang meningkat sekarang. Oleh itu saya mengambil keputusan untuk bercuti di kampung,” katanya.

Sementara itu, pekerja kedai serbaneka di KL Sentral, Kuala Lumpur yang mahu dikenali sebagai Roland, 42, berkata dia mendapati jumlah kehadiran pengunjung meningkat sejak dua hari lalu.

“Saya lihat jumlah pengunjung lebih ramai hari ini, mungkin mereka datang untuk membeli tiket bagi pulang ke kampung halaman,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 17, 2020 @ 6:22pm
    d