mutakhir

Pasaraya Mydin buka kaunter khas OKU, warga emas

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PASARAYA Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) menyediakan kaunter pembayaran khas kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Pengarah Urusannya, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, inisiatif itu dilakukan bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada golongan berkenaan.

“Kita menyediakan kaunter khas bermula hari ini sehingga 31 Mac depan bagi memudahkan golongan warga emas dan OKU membuat pembayaran.

“Selain itu, semua cawangan pasar raya Mydin dibuka 30 minit lebih awal berbanding waktu kebiasaan untuk memberi laluan kepada golongan itu membuat pembelian lebih dahulu,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Ameer berkata, Mydin menerima jumlah pelanggan luar biasa yang membuat pembelian panik sejak petang semalam sehingga hari ini.

“Lebih meriah berbanding nak menyambut hari raya. Pelanggan membuat pembelian barangan keperluan masing-masing untuk menghadapi perintah kawalan pergerakan,” katanya.

Ditanya mengenai stok bekalan barangan, Ameer berkata, pihaknya tidak berdepan masalah kekurangan bekalan barangan kerana sudah membuat persediaan awal.

“Mydin sentiasa menyediakan bekalan mencukupi dan membuat persediaan bekalan lebih awal susulan berlaku pembelian panik di Singapura, sebelum ini.

“Orang ramai tidak perlu bimbang dan membuat pembelian panik kerana bekalan mencukupi dan pasar raya dibuka sepanjang perintah berkenaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 17, 2020 @ 6:46pm
    d