mutakhir

KPDNHEP jamin barangan keperluan mencukupi

Oleh Samadi Ahmad

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan makanan khususnya barangan kawalan mencukupi di pasaran susulan arahan Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan kerajaan semalam.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, tiada keperluan untuk orang ramai mengadakan pembelian secara panik atau menyimpan barangan berlebihan kerana keadaan masih terkawal dan bekalan mencukupi.

Menurut beliau, barangan seperti gula, minyak masak dan tepung gandum mencukupi di pasar raya dan kedai runcit bagi kegunaan domestik.

Katanya, lebih 2,500 penguat kuasa KPDNHEP seluruh negara diarahkan memantau bekalan agar peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga dan mengadakan aktiviti menyorok barangan.

“Setakat ini, KPDNHEP masih tidak mengenakan sekatan kemasukan barangan luar negara seperti dilakukan beberapa negara di Timur Tengah yang terkesan dengan wabak Covid-19 bagi mengelak kekurangan barangan keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian cawangan Tealive Ke-506 di KPDNHEP di Putrajaya hari ini.

Alexander berkata, setakat ini kerajaan masih belum menghadkan pembelian barangan kepada orang ramai kerana bekalan masih mencukupi.

Pada masa beliau turut memaklumkan kerajaan akan menghentikan eksport penutup hidung dan mulut ke luar negara dalam jangka masa terdekat bagi memberi keutamaan kepada pengguna dalam negara.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 17, 2020 @ 7:06pm
    d