mutakhir

Sultan Kelantan titah rakyat akur perintah kerajaan bendung Covid-19

Oleh Siti Rohana Idris

SULTAN Kelantan, Sultan Muhammad V menitahkan rakyat negeri ini supaya akur dan mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan dalam membantu usaha membendung penularan COVID-19.

Susulan Perintah Kawalan Perjalanan yang bakal berkuatkuasa esok, baginda bertitah supaya rakyat Kelantan bertenang dan tidak membeli barangan keperluan lebih daripada yang diperlukan supaya bekalan makanan di pasaran mencukupi untuk semua.

“Beta mencadangkan supaya pemilik kedai merancang penjualan barangan mereka supaya bahan keperluan harian mencukupi.

“Seeloknya, beta menyarankan agar pemilik premis menyediakan waktu khas kepada warga emas dan golongan yang mudah terdedah kepada jangkitan untuk membeli dalam persekitaran yang selamat,” titah baginda.

Baginda turut bertitah supaya semua yang menghadiri Ijtimak Jord Qudama’ dan Ulama Malaysia di Masjid Sri Petaling, Selangor yang belum menjalani pemeriksaan supaya segera menjalani saringan.

Baginda turut bertitah supaya rakyat negeri berkenaan hanya mendapatkan maklumat sahih daripada saluran rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta kerajaan negeri malah tidak terburu-buru untuk mempercayai berita tular yang belum disahkan.

Titah baginda, semua pihak memainkan peranan penting ketika ini dan warga Kelantan perlu sentiasa menjaga kesihatan, terutama sekali ahli keluarga, warga emas dan golongan yang mudah terdedah selain sentiasa bertimbang rasa terhadap jiran.

“Beta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM), terutama sekali petugas barisan hadapan yang sedang bertungkus lumus bekerja tanpa menghiraukan penat dan lelah untuk mengekang penularan Covid-19.

“Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT supaya penularan Covid-19 ini dapat dikawal dan keadaan di Malaysia pulih serta kembali seperti biasa.

“Semoga tindakan kolektif yang diambil oleh masyarakat akan dapat segera melandaikan puncak jangkitan (flatten the curve),” titah baginda.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 17, 2020 @ 8:00pm
    d