mutakhir

Bantuan RM600 buat pekerja, majikan terjejas

Oleh Yusmizal Dolah Aling

PROGRAM Pengekalan Pekerjaan (ERP) menyediakan bantuan kewangan sementara RM600 sebulan untuk tempoh maksimum enam bulan kepada mana-mana pekerja dan majikan yang terjejas dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam kenyataan, hari ini, berkata mereka layak menerima pembayaran berkenaan jika mematuhi syarat ditetapkan.

Menurutnya, antara syarat itu termasuk pekerja yang diberi notis cuti sementara tanpa gaji oleh majikan berkuat kuasa mulai 1 Mac lalu, pekerja sektor swasta yang berdaftar dan mencarum dengan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Perkeso tetapi terhad kepada mereka bergaji RM4,000 dan ke bawah.

Katanya, selain itu majikan membuat permohonan bagi pihak pekerja perlu menyalurkan RM600 terus kepada akaun pekerja.

“Bantuan itu bagi membantu majikan yang terjejas akibat Covid-19 kerana terpaksa mengambil langkah mengurangkan kos operasi dengan mengeluarkan notis cuti tanpa gaji kepada pekerja mereka,” katanya.

Menurutnya, maklumat lanjut boleh diperolehi di laman web Perkeso dalam masa yang terdekat.

Katanya, orang ramai juga boleh menghubungi Talian Khidmat Pelanggan 1-300-22-8000 atau menghantar e-mel ke perkeso@perkeso.gov.my atau facebook.com/perkeso.official.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 17, 2020 @ 9:10pm
    d