mutakhir

Tak boleh makan di restoran - KPN

Oleh BERNAMA

KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengingatkan orang ramai yang berkunjung ke restoran dan kedai makan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan supaya tidak makan di sana.

Beliau berkata, tidak ada larangan untuk ke restoran dan kedai makan yang diumumkan masih dibuka untuk orang awam, tetapi terhad untuk pembelian makanan sahaja.

“Ia cukup jelas sekali maknanya. Tidak akan tersekat kehendak orang ramai untuk membeli barangan keperluan.

“Saya berharap dalam tempoh terdekat ini, Majlis Keselamatan Negara akan memberikan banyak penjelasan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Abdul Hamid menjelaskan bahawa penugasan polis masih berjalan seperti biasa di seluruh negara meskipun Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

“Dalam tempoh ini (Perintah Kawalan Pergerakan) bilangan pegawai dan anggota polis yang ditugaskan untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan adalah mencukupi,” katanya.

Selain itu, Abdul Hamid berkata kaunter bayaran saman serta permohonan lesen di setiap balai polis dan Ibu Pejabat Polis Daerah seluruh negara ditutup sebagai langkah mencegah jangkitan COVID-19.

“Orang ramai yang ingin membayar saman atau ingin memohon lesen boleh melakukannya secara dalam talian atau berkomunikasi dengan pegawai polis untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik, bermaksud wabak penyakit yang tersebar dengan begitu meluas merentasi sempadan, malah hingga ke seluruh dunia.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 17, 2020 @ 10:08pm
    d