mutakhir

Selangor sedia bawa pulang penuntut di Sabah, Sarawak

Oleh Norzamira Che Noh

KERAJAAN Selangor bersedia membawa pulang penuntut dari negeri itu yang menuntut di universiti di Sabah dan Sarawak.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia susulan arahan yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar semua mahasiswa mengosongkan universiti masing-masing selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula tengah malam tadi.

“Kerajaan negeri ingin memaklumkan kesediaan membawa pulang mahasiswa-mahasiswi Selangor yang menuntut di universiti di Sabah dan Sarawak susulan dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa hari ini.

“Selain itu, susulan Perintah Kawalan Pergerakan itu juga, segala urusan kerajaan negeri akan diteruskan secara dalamtalian.

“Ia membabitkan semua urusan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, pejabat-pejabat rangkaian kerajaan negeri termasuklah pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam, malam tadi.

Beliau berkata, sebagai maklumbalas kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) semua pasar pagi, pasar malam dan pasar karat di Selangor tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh perintah kawalan berkenaan kecuali pasar dalam bangunan.

Jelasnya, restoran serta kedai makan di negeri itu pula masih boleh beroperasi tetapi hanya dihadkan untuk penghantaran kepada pembeli.

“Justeru, pentadbiran ini sekali lagi mengingatkan rakyat supaya meneruskan amalan kebersihan yang baik bagi membendung penularan jangkitan COVID-19 dan sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Malaysia akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai hari ini sehingga 31 Mac di seluruh negara untuk mengawal penularan jangkitan COVID-19.

Perintah kawalan itu dilaksanakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 yang meliputi larangan menyeluruh pergerakan serta perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 11:15am
    d