mutakhir

Tambak tersibuk dunia kini sepi

Oleh Mohamed Farid Noh

TAMBAK Johor yang disenaraikan sebagai laluan darat paling sibuk di dunia, kini lenggang dan sepi sejak awal pagi tadi.

Ia susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara mulai hari ini hingga 31 Mac bagi membendung penularan wabak Covid-19, menyebabkan sempadan negara diarahkan ditutup sepenuhnya.

Tinjauan di kawasan berkenaan mendapati tiada kesesakan yang biasanya bermula dari jam 4 hingga 9 pagi yang menjadi rutin tambak berkenaan setiap hari.

Tambak Johor sepanjang 1.05 kilometer itu menghubungkan Johor Bahru dengan Woodlands di Singapura dibina pada 1923.

Ia sebelum ini dilaporkan digunakan oleh 70 peratus pelancong dan pelawat untuk memasuki Malaysia sehingga ia disenaraikan sebagai laluan darat tersibuk di dunia.

Ia menjadi laluan darat utama menjadi pintu keluar-masuk ke Singapura selain laluan kedua di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di Tanjung Kupang, Gelang Patah.

Dianggarkan kira-kira 250,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura berulang-alik menerusi Tambak Johor setiap hari,dengan pemandangan penunggang motosikal beratur dan menunggu memasuki republik itu adalah rutin harian tambak berkenaan.

Mengikut statistik, kira-kira 400,000 rakyat Malaysia kini mencari nafkah di Singapura dengan hampir 200,000 daripadanya berulang-alik antara Johor Bahru ke negara itu setiap hari menaiki motosikal, dengan majoritinya keluar-masuk ke republik berkenaan menerusi Tambak Johor.

Isnin lalu,Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Dalam perutusannya itu, Muhyidin dilaporkan berkata, tindakan drastik perlu diambil dalam kadar segera untuk menyekat penularan wabak ini dengan cara mengehadkan pergerakan orang ramai.

Ia adalah satu-satunya cara untuk mengelakkan lebih ramai rakyat negara ini dijangkiti wabak yang boleh meragut nyawa.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 12:28pm
    d