mutakhir

Polis, Rela diberi kuasa pantau Perintah Kawalan Pergerakan [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dilantik sebagai pegawai diberi kuasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan mulai hari ini hingga 31 Mac ini.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataan, hari ini berkata, ia dibuat menerusi Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang diwartakan, hari ini.

Menurutnya, pelantikan itu juga dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

“Langkah susulan juga diambil bagi menyelaras dan memperincikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“MKN dan Jabatan Perdana Menteri mengadakan mesyuarat penyelarasan antara agensi kerajaan, semalam untuk memperincikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan agar ia berjalan dengan baik dan lancar,” katanya.

Katanya, orang ramai diminta untuk mematuhi semua peraturan yang diputuskan oleh pihak berkuasa.

“Bagi meningkatkan lagi keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan ini, orang ramai dinasihatkan berada di rumah sepanjang masa kecuali untuk memenuhi keperluan asas.

“Selain itu, amalkan penjarakkan sosial (social distancing) daripada orang sekeliling demi mengelakkan jangkitan Covid-19,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara, MKN, Jabatan Perdana Menteri di talian 03-88882010 jika mempunyai sebarang pertanyaan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 2:26pm
    d