mutakhir

Rintihan pekerja Malaysia di Singapura

Oleh Mohamed Farid Noh

DIA mempunyai dua anak remaja dan seorang ibu yang terlantar akibat angin ahmar, namun ibu tunggal dari Larkin, Johor Bahru terpaksa meninggalkan mereka untuk menetap sementara di Singapura.

Tindakan itu diambilnya selepas Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula hari ini menyekat pergerakan keluar rakyat Malaysia ke luar negara, sekali gus mengganggu perjalanan ulang-alik mereka bekerja di Singapura

Sofia Safie, 35, yang juga ibu tunggal berkata, dia bekerja dengan sebuah butik antarabangsa di negara jiran itu dan terpaksa menetap sementara di hotel yang disediakan majikan kerana larangan berkenaan.

“Menangis juga mengenangkan saya tidak pernah meninggalkan dua anak berusia 16 dan 14 tahun serta ibu yang terlantar sakit kerana berulang-alik setiap hari ke Singapura.

“Namun saya akur dan faham dengan arahan kerajaan yang tidak mahu wabak Covid-19 makin merebak. Saya sudah berpesan kepada kedua anak supaya tidak meninggalkan nenek mereka dan tinggal di rumah sahaja.

“Semua keperluan dan bekalan makanan sudah saya siapkan. Mereka anak yang baik dan memang selalu membantu menjaga nenek ketika saya bekerja di Singapura,” katanya.

Kira-kira 200,000 rakyat Malaysia berulang-alik dari Johor ke Singapura setiap hari untuk bekerja dan kebanyakan mereka melintasi Tambak Johor malam tadi untuk ke negara jiran termasuk Sofia.

Katanya, dia tersangkut dalam trafik selama empat jam sebelum sempat mengambil bas terakhir untuk ke negara jiran.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 4:01pm
    d