mutakhir

MBKT tutup 7 taman awam

Oleh Baharom Bakar

MAJLIS Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menutup tujuh taman awam sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19 berkuatkuasa hari ini.

Datuk Bandar Kuala Terengganu Shahidan Embok berkata, tujuh taman awam yang ditutup adalah Taman Awam Batu Burok, Taman Awam Lagun Kuala Ibai dan Taman Shahbandar.

Menurutnya, turut ditutup Taman Medan Maziah, Taman Rekreasi Teluk Ketapang, Taman Hiliran dan Taman Waterfront di Pulau Kambing.

“Penutupan taman awam yang berkuatkuasa hari ini hingga akhir bulan ini selaras dengan perutusan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Penutupan tujuh taman awam itu juga dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit 1988 serta Akta Polis Diraja Malaysia (PDRM) 1967,” katanya.

Shahidan menjelaskan, pihaknya akan menempatkan pegawai dan anggota penguat kuasa untuk menasihatkan orang ramai agar tidak memasuki kawasan berkenaan.

“MBKT juga akan memasang papan tanda amaran di beberapa lokasi di tujuh taman awam berkenaan, ” katanya.

Ketika mengulas penutupan stadium dan dewan orang ramai, Shahidan menegaskan, arahan tidak membenarkan stadium dan dewan miliknya digunakan untuk pelbagai aktiviti terutamanya membabitkan perhimpunan melebihi 100 peserta sudah dikeluarkan.

Menurutnya, semua tempahan penggunaan stadium dan dewan di bawah pengawasan MBKT dibatalkan.

“Keputusan itu dibuat berikutan pekeliling kerajaan negeri yang melarang semua program membabitkan peserta melebihi 100 ditangguhkan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 4:03pm
    d