mutakhir

Mohon pengecualian golongan tertentu

Oleh Mohamed Farid Noh dan Omar Ahmad

KERAJAAN Johor akan memohon pelepasan khas daripada kerajaan Persekutuan supaya Perintah Kawalan Pergerakan dikecualikan kepada golongan tertentu.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) hari ini.

Beliau berkata, antara kumpulan yang dicadangkan bagi pengecualian itu adalah rakyat Malaysia yang memiliki pas kerja dikeluarkan Malaysia dan Singapura, kargo komersial yang membawa barang keperluan, pemandu kenderaan logistik, pemandu seperti bas pekerja, juruteknik dan pakar profesional.

Turut dicadangkan untuk dikecualikan termasuk pelajar, warga asing dan rakyat Singapura yang menetap di Johor Bahru.

“Cadangan berkenaan akan dikemukakan pada Jawatankuasa Kerja Khas Malaysia-Singapura yang ditubuhkan bagi menyediakan pelan mitigasi menangani isu pergerakan rakyat, barangan dan perkidmatan kedua-dua negara yang dijangka bermesyuarat selewat-lewatnya esok.

“Jawatankuasa Kerja Khas itu dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, saya dan wakil Kabinet Singapura,” katanya.

Menurutnya, cadangan itu bukan bermakna Tambak Johor mahupun Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Second Link) akan dibuka seperti biasa tetapi perlu ada kawalan lebih ketat dengan sistem pemeriksaan dan mitigasi lebih berkesan serta terkawal.

“Bagaimanapun pergerakan pelawat bagi tujuan pelancongan termasuk pelancong asing kekal dilarang untuk memasuki negara ini, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Datuk Jaafar Muhammad, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

Terdapat dua pintu masuk laluan darat menghubungkan Johor-Singapura iaitu Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Second Link).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 4:32pm
    d