mutakhir

Beli, bungkus dan pulang...

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Yusmizal Dolah Aling

BELI, bungkus dan pulang. Senario itu dapat dilihat di beberapa restoran di ibu negara, hari ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan ekoran penularan wabak Covid-19.

Rata-rata mereka tidak mengambil masa yang lama untuk berada di restoran yang kebanyakannya sudah menyusun kerusi dan meja bagi mengelakkan pelanggan makan di premis masing-masing.

Tinjauan Harian Metro di Wangsa Maju mendapati, pelanggan yang datang ke kedai akan memesan makanan sebelum membawa pulang bungkusan seperti ditetapkan dalam perintah berkenaan.

Malah, ramai juga yang membuat pesanan secara atas talian sebelum datang untuk mengambil tempahan berkenaan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, semua rangkaian restoran nasi kandar di seluruh negara mematuhi arahan pihak berkuasa dan hanya membenarkan pelanggan membungkus makanan untuk dibawa pulang.

Katanya, sejak awal pagi, restoran di bawah Presma dibuka seperti biasa dan pelanggan datang untuk membeli dan membawa pulang tanpa makan di kedai.

“Sejak semalam, pekerja giat menyusun meja untuk diletakkan di satu sudut kedai. Kita tidak mahu ada yang ambil kesempatan makan di situ kerana mungkin sudah terbiasa.

“Saya juga mengarahkan ahli Presma untuk menyediakan cecari pencuci tangan sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19 ini. Alhamdulillah, setakat ini semuanya lancar,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga menunggu perkembangan dari semasa ke semasa berhubung langkah yang perlu diambil dan bersedia sekiranya mendapat arahan penutupan atau pemberhentian operasi.

“Kalau diarahkan tutup sepenuhnya, kita akur kerana keselamatan pengguna lebih penting buat masa ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 7:07pm
    d