mutakhir

Penuntut Sarawak di Semenanjung tidak disaran balik

Oleh BERNAMA

PENUNTUT Sarawak di institusi pengajian tinggi (IPT) di Semenanjung tidak disarankan balik ke negeri itu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan jangkitan koronavirus baharu (Covid-19).

Menteri Kanan, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penuntut tiada tempat kediaman, buat sementara waktu boleh menghubungi wakil penuntut di setiap institusi untuk menjelaskan permasalahan yang dihadapi.

“Ramai yang keliru dengan arahan yang dikeluarkan dan beranggapan setiap penuntut perlu mengosongkan tempat kediaman atau asrama. Memang penuntut Sarawak dibenarkan kembali, namun kita nasihati agar pergerakan dihadkan buat seketika ini.

“Dalam Mesyuarat Khas Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut dihadiri Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, kita memutuskan penuntut yang tidak balik boleh kekal (terus tinggal) di kediaman dan diberi pilihan untuk menginap di fasiliti IPT masing-masing,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya berkata, kerajaan negeri melalui Sarawak Volunteers dengan kerjasama Pejabat Perhubungan Sarawak di Kuala Lumpur juga mengambil inisiatif dengan memberikan bantuan tempat tinggal dan makanan kepada penuntut yang terjejas dalam tempoh ini.

Katanya, penuntut juga perlu sentiasa berhubung dengan Unit Hal Ehwal Pelajar di universiti masing-masing dan dinasihatkan untuk sentiasa patuh dan peka dengan arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Mana-mana penuntut Sarawak yang mempunyai masalah berkenaan penempatan sementara atau akses makanan boleh menghubungi Sarawak Volunteers di talian 013-895 0345 (Khairul), 012-462 9293 (Sakinah) dan Pejabat Perhubungan Sarawak Kuala Lumpur 019-388 2984 (Dayang).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 7:23pm
    d