mutakhir

AIM tangguh bayaran pinjaman Sahabat

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

AMANAH Ikhtiar Malaysia (AIM) akan menangguhkan kutipan bayaran balik pinjaman Sahabat AIM untuk tempoh dua minggu bermula hari ini hingga 31 Mac ini.

Keputusan itu dibuat bagi meringankan beban yang ditanggung oleh Sahabat AIM yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Isnin lalu bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Pengarah Urusan AIM, Shamir Aziz berkata, penangguhan dua minggu berkenaan akan memberi kesan langsung kerugian sebanyak RM16 juta yang akan ditanggung oleh AIM.

“Walaupun AIM perlu menanggung kerugian berkenaan, namun ia perlu dilakukan kerana kami amat prihatin dan memahami situasi yang dialami oleh Sahabat AIM pada masa kini.

“Kita juga akan menyusun dan mengemaskini semula produk pembiayaan sedia ada untuk membantu meringankan kos operasi Sahabat AIM mengikut keperluan semasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, AIM juga akan memperkenalkan produk pembiayaan baharu khusus menangani kesan ekonomi akibat wabak Covid-19 ini.

Katanya, produk baharu itu diwujudkan hasil penjimatan daripada pembatalan beberapa program besar yang sepatutnya dijadualkan berlangsung sepanjang tahun ini.

“Kebanyakan Sahabat AIM terbabit dalam menjalankan perniagaan berbentuk makanan, perkhidmatan dan produk berasaskan pelancongan.

“Dengan Perintah Kawalan Pergerakan ini, sebahagian besar Sahabat AIM menerima tempias kerana tidak boleh berniaga.

“Ini secara tidak langsung memberi kesan kepada pendapatan dan kemampuan membayar balik pinjaman AIM,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 7:50pm
    d