mutakhir

Jamin rantaian makanan, barang keperluan mencukupi - MITI

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KERAJAAN meluluskan operasi industri pembuatan yang mengeluarkan produk kritikal sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid19.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya mengadakan beberapa siri libat urus dengan pemegang taruh industri dengan mematuhi protokol kesihatan yang ditetapkan.

Katanya, ia bagi mendapatkan pandangan mereka terhadap pelaksanaan strategi kerajaan.

“Kami sangat menghargai pandangan diberikan oleh pemain industri yang memahami kewajaran melaksanakan PKP dalam suasana kritikal sekarang dan bersedia untuk membantu menjayakan usaha menjamin rantaian bekalan dalam sektor pembuatan mencukupi.

“Hasil daripada siri libat urus ini, kerajaan dapat mempertimbang dan memberikan kelulusan beroperasi kepada industri pembuatan yang mengeluarkan produk ditakrifkan sebagai kritikal.

“Ini adalah untuk memastikan keperluan rakyat kepada perkhidmatan asas tidak terjejas sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa dan mengurangkan gangguan kepada rantaian bekalan, khususnya bagi makanan dan barang keperluan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, MITI juga akan membuat susulan dengan pihak industri untuk memastikan pelaksanaan yang efektif dan berkesan.

“Saya juga berhubung langsung dengan Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, TYT Chan Chun Sing pagi tadi (semalam) berhubung langkah bersama yang perlu diambil dalam situasi ketika ini.

“Kerajaan akan terus memantau situasi bagi mengatasi cabaran yang berkaitan dengan Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 8:07pm
    d