mutakhir

Mercy Malaysia lancar tabung Covid-19

Oleh BERNAMA

MERCY Malaysia hari ini melancarkan Tabung Pandemik Covid-19 untuk menyokong sistem penjagaan kesihatan yang mengalami tekanan yang teruk berikutan penularan wabak itu serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa hari ini.

Pengarah Eksekutif pertubuhan bukan berasaskan keuntungan itu, Amran Mahzan berkata, dana itu juga akan membantu meningkatkan perkhidmatan kesihatan dan keperluan asas golongan terpinggir.

“Kami mengukuhkan langkah pencegahan seperti mencuci tangan, makan makanan yang sudah dimasak dan penggunaan penutup hidung dan mulut yang betul di klinik bergerak kami untuk pelarian dan pendatang sejak bulan lalu.

“Masyarakat terpinggir ini tidak boleh diketepikan daripada rancangan pembendungan pandemik kerana ia berpotensi menjadi kawasan hotspot bagi virus itu merebak dengan pantas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, untuk menyokong inisiatif Mercy Malaysia, sumbangan boleh dibuat melalui www.mercy.org.my atau terus kepada MERCY Humanitarian Fund (5621 7950 4126) atau MERCY Malaysia (CIMB 8000-7929-08). Semua derma dikecualikan cukai.

Perintah Kawalan Pergerakan diisytiharkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lepas. Setakat hari ini Malaysia merekodkan 790 kes positif Covid-19 dengan kematian pertama dicatatkan semalam membabitkan dua warga tempatan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 11:21pm
    d