mutakhir

UMT bantu penuntut di kampus

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) memperuntukkan sebanyak RM70,000 untuk membantu penuntut yang kekal di kampus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dam Alumni) UMT Prof Madya Dr Hafiz Zakariya berkata, permohonan untuk mendapatkan bantuan itu perlu dibuat penuntut melalui aplikasi atas talian MyEhsan.

“Pihak pengurusan UMT juga prihatin akan kesulitan penuntut yang mengeluarkan wang untuk pembelian tiket perjalanan pulang ke kediaman masing-masing tetapi tidak mendapat kelulusan oleh pihak universiti untuk pulang.

“Oleh yang demikian, UMT bersetuju untuk membayar semula wang dibelanjakan oleh penuntut untuk pembelian tiket perjalanan pulang ke kediaman itu,” katanya melalui satu kenyataan di Kuala Nerus hari ini.

Menurutnya, lima kafeteria di kolej kediaman dibuka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi memastikan penuntut mendapat bekalan makanan yang mencukupi.

“Perkhidmatan penghantaran makanan juga dibenarkan bagi mengelakkan penuntut keluar kampus secara berkumpulan.

“Selain itu, kumpulan Act of Kindness (AOK) akan memainkan peranan mengagihkan barangan keperluan secara percuma bagi membantu penuntut yang memerlukan.

“Bilik Gerakan Covid-19 disediakan sebagai pusat rujukan bagi mendapatkan info perkembangan terkini berkaitan inisiatif dan pelan tindakan sekiranya memerlukan bantuan sepanjang tempoh arahan pihak kerajaan,” katanya.

Menurutnya, dia berharap semua penuntut mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa serta mengambil langkah pencegahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“UMT memandang serius dan menitikberatkan kebajikan semua penuntut dalam usaha memastikan penuntutnya sentiasa berada dalam keadaan baik serta terkawal ekoran penularan wabak Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 19, 2020 @ 5:50pm
    d